DUNIAKU.....KISAH HIDUPKU

MANUSIA ITU IBARAT PELAKON DI PENTAS DUNIA......

WATAK DAN PERANAN BERUBAH MENGIKUT TAKDIR YANG MENJADI BABAK KEHIDUPAN....

MOGA AKU SENTIASA DIBERI WATAK SEBAGAI SEORANG MANUSIA BERGELAR INSAN...

INSAN YANG KARAKTERNYA SENTIASA BERPAKSIKAN TUHAN.....

Friday, January 21, 2011

konflik jiwa anak remaja




Wahai intan penglibur lara
Marilah sini duduk bersila
Ummi ingin berkongsi cerita
Kisah tauladan seorang remaja
Juga cerita sang ibu yang setia

Duhai intan,sudahkah bersedia?
Ummi ingin mulakan bicara
Duduk diam pasang telinga
Ambil iktibar buang yang dusta

Khabar tersebar seantero negeri,
Lahirnya dia bak seorang puteri,
Membawa sinar dan seribu erti,
Segala janji pasti ditepati..

Minyak ditatang tak pernah tumpah
Tangan dijaga pula tak pernah patah
Makan dan minum sentiasa sudah
Tiada dapat hinggaplah lalat dan lebah..


 Memang beginilah adat manusia…
Bila diri makin membesar
Hajat dihati makin melebar
Tak kira terhad atau tersasar…
Janji ada tak boleh sabar


Jiwa anak terus merintih...
Bila kehendak tak dituruti,
Petanda hidup tak dipeduli,
Impian dicanang tak menjadi realiti,
Hanya omelan silih berganti…

Kononnya tanda memberontak…
Wajah dicalet kulit digores,
Subang dihidung simbolik obses,
Tingginya nada petanda protes,
Termerai sudah perjanjian kongres

                                          Hati sang ibu pula meruntun…
Mengapa mudah sangat jiwamu bergelojak wahai anakku,
Mudahnya kamu merasa..
Mudahnya kamu berkata..
"Tiba masanya ikutkan hati,
Kaki melangkah membawa diri,
Tolong sekalian jangan mencari,
Saya dah besar boleh berdikari”.

Adakah ini yang kamu  cari wahai anakku?
Adakah ini yang kamu suka?
Bertemu si jejaka di pertengahan jalan,
Tangan dihulur beri bantuan,
Cerita dikongsi kononya sehaluan,
Tiba masanya bertukar haruan…

Bila syaitan sudah bertenggek
Akal yang waras pastikan cetek
Tiada peduli orang merengek
Tiada kisah kain dibelek

Bebasnya hidup kini dirasa,
Arak diteguk tanda setia,
Luputnya ingatan pada pencipta,
Tubuh tergadai maruah ternoda…

Ingatlah! Panas mungkin takkan berpanjangan
Kerana……..
Hakikat sebenar tak pernah lupa
Wujudnya Tuhan sentiasa ada
Nafas dihela didunia nyata
Karma tersenyum lalu menerpa…

Sememangnya sudah tersurat bahawa hidup ini umpama roda
Terkadang diatas terkadang dibawah..
Retaknya cermin sudah masanya
 Tangan terhiris petanda duka
Bertakunglah air di kelopak mata
Batin menjerit beralunkan lara

Adakah ini ganjaran perjuanganmu duhai anakku?
Perut memboyot sudah berisi,
Insan diharap mengangkat kaki,
Sengsara ditanggung seorang diri,
Pada siapa mahu berpaksi?
Jiwa merintih tak henti-henti

Bila memegang pangkat sang ibu
Kasih dan sayang tak pernah layu
Terus mengharap dan terus mengampu
Agar anak pulang padaku

Pulanglah anak ke pangkuan keluarga,
Ibu berdoa tak pernah lupa,
Selesaikan masalah bersama-sama,
Mohon hidayah pada Yang Esa.

Tenanglah anak kuatkan iman,
Ibu disisi menjadi peneman,
Kita bernegosiasi secara aman,
Segala bantuan boleh diharapkan

Jadikan ini sebagai iktibar
Janganlah mudah hilang sabar
Selalu beringat,gunakan akal..
Kalau tak dapat kita tawakal..

Ingatlah anakku…

Tuhan kita Maha Melihat

Cobaan dikirim untuk mengingat
Insaflah  diri sebelum terlambat
agar diakhirat kita selamat

luluhnya hati mula bersuara
"aku hanya insan kerdil dan hina
nafsu dan syaitan mudah beraja
kini kutahu semuanya dusta
panjangkanlah sedikit nafas dihela
kirimkan secebis kudrat anggota
ampunkan segala dosaku wahai Pencipta
berikan sedikit ruang untuk kita bersua"



Anak sedar kesilapan diri
Terus menyesali apa terjadi
Memanjatkan doa pada ilahi
Moga hidup terus diberkati

Sekian sahaja cerita ummi,
Sematkan tauladan di dalam diri,
Jangan terlalu ikut nafsu dan hati
Takut menyesal dikemudian hari…